KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan cadangan khemah besar tidak pernah dibincangkan dalam semua proses membuat keputusan dalam parti itu.

Saifuddin sebaliknya berkata, cadangan khemah besar hanya dibincang dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Harapan (PH) namun tidak mengikat PKR.

"Saya akan berpegang kepada kenyataan fakta bahawa tajuk khemah besar tidak pernah dibincang dalam proses membuat keputusan dalam parti.

"Apakah ada dibincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan? Pimpinan Pakatan Harapan ada membincangkan banyak perkara dalam mesyuarat bulanan.

"Adakah keputusan itu mengikat kita (PKR)? Tidak. Selepas Pilihan Raya Negeri Melaka, kita melihat keputusan yang memenangkan UMNO dan BN.

"Untuk mengurus idea ini, kita bincang banyak perkara. Kalau ada persamaan asas yang dicapai. ia tak tidak semesti berakhir dengan gabungan. Kalau ada mungkin electro pact misalnya," katanya ketika sesi debat berjudul, Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? dua calon Timbalan Presiden PKR di Sinar Harian pada Rabu.

Saifuddin juga menjelaskan, beliau tidak pernah menyesal berunding dengan ahli parlimen dan parti di luar komponen Pakatan Harapan (PH) untuk membantu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

"Apabila kerajaan PH jatuh, parti (PKR) berbincang, PH berbincang. Keputusan diambil. Tugasan diberi kepada beberapa pimpinan tertentu (untuk berbincang dengan MP bukan PH).

"Saya nak tegaskan, ia bukan soal Saifuddin berunding. Ia keputusan kolektif lepas parti dan PH berbincang," katanya lagi.

Dalam sesi debat itu juga, Saifuddin menggariskan ciri-ciri yang perlu ada pada seorang timbalan presiden PKR selepas jawatan itu kosong selama dua tahun.

Beliau menegaskan, kesetiaan kepada idealisme perjuangan juga memainkan peranan penting dan mahal sebagai orang nombor dua dalam PKR.

Bagi Saifuddin, PKR memerlukan pemimpin yang tidak hanya bersama parti ketika menang dan senang sebaliknya kekal dalam perjuangan bila kalah dan susah.

"Selama 23 tahun, saya percaya bahawa pertama kena ada kesetiaan kepada idealisme perjuangan bukan sosok seorang pemimpin.

"Kesetiaan ini mesti masa menang masa kalah, masa senang masa susah, saat gembira saat sukar, kesetiaan ini sesuatu yang mahal dalam perjuangan PKR.

"Saya punya tekad untuk mengisi lompong ini. Saya juga percaya PKR jadi kuat kerana meraikan kepelbagaian dan potensinya.

"Jawatan orang nombor dua ini adalah perlu menguruskan potensi ini dengan baik, tetapkan arah tuju parti, jadi team player dan bersedia bekerjasama dengan semua orang.

"Pantang bagi seorang timbalan presiden ialah membina empayar politik diri sendiri, cukuplah yang berlaku sebelum ini apabila orang nombor dua ghairah membina empayar politik bukan kekuatan parti tetapi empayar politik peribadi," katanya.

Saifuddin bersaing dengan Mohd Rafizi Ramli merebut jawatan nombor dua PKR dalam pemilihan parti yang diadakan bermula 13 hingga 18 Mei ini.