POLITIK

PM Anwar seru Ahli Parlimen berbahas secara beradab, elak memaki hamun

Bernama 26/07/2025 | 06:11 MYT
Perdana Menteri menyampaikan ucapan pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. --Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Ahli Parlimen supaya menerapkan budaya berbahas secara beradab dan sopan di Dewan Rakyat tanpa perlu menghina atau memaki hamun.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Ahli Parlimen agar berbahas secara beradab dan sopan di Dewan Rakyat, tanpa menghina atau memaki hamun.
  • Beliau kagum dengan peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 yang berhujah dengan fasih, berani dan berhemah, serta menyarankan agar Ahli Parlimen mencontohi pendekatan pelajar tersebut.
  • Anwar turut memuji generasi pelajar kini yang menunjukkan penguasaan bahasa Melayu yang tinggi dan kemampuan berhujah dengan ilmu serta kefahaman mendalam.


Ketika menyatakan kekagumannya menyaksikan kaedah peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 2025 yang berbahas dengan fasih, berani, bijak mengolah fakta serta berhujah secara berhemah, Anwar berkata perkara itu sepatutnya dicontohi oleh Ahli Parlimen.

"Saya bangga sekali akan tahap perbahasan dan saya renung sekejap, apa salahnya (jika) Ahli Parlimen belajar, iaitu pertama kalau nak berbahas (kita) kena kuasai ilmu, hadam, olah dan sampaikan.

"Anak-anak ini tunjuk tahap perbahasan hebat dan saya tabik (bangga). Perdebatan ini bukan sekadar kepintaran berbicara, tetapi juga keupayaan untuk menguasai, menelaah, menghadam dan melontarkan (isu). Sebab itu saya rasa perkara itu yang perlu dipelajari (dicontohi) oleh Ahli Parlimen," kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memuji generasi pelajar kini yang menunjukkan penguasaan bahasa Melayu yang tinggi serta berbahas dengan penuh ilmu dan kefahaman.

Perdana Menteri berkata nilai adab dan akhlak perlu menjadi sebahagian daripada pendidikan negara kerana pembinaan negara MADANI tidak boleh hanya bergantung pada kemajuan teknologi seperti AI (kecerdasan buatan), digital dan teknologi baharu semata-mata.

"Dan apabila kita berbicara soal negara MADANI, ia mesti diterapkan dengan asas nilai dan akhlak, sebagaimana diungkapkan oleh Sheikh Taha Jabir Al-Alwani dalam karya beliau (Adab al-Ikhtilaf)," kata Anwar.

Mengakui cabaran semasa yang kompleks dan memerlukan generasi masa depan memahami dan menguasai ilmu baharu, Perdana Menteri berkata pengadaptasian ilmu baharu mesti berpaksikan akar tradisi, nilai kemanusiaan dan akhlak.

"Kita latih anak-anak bukan sahaja untuk menguasai ilmu baharu tetapi juga untuk mempertahankan nilai akidah, akhlak dan nilai seni budaya tempatan. Tanpa adunan ini, kita hanya memenuhi acuan negara Barat," kata beliau.

Pertandingan edisi ke-50 itu menyaksikan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang muncul johan bagi kategori Bahasa Melayu manakala Sekolah Sultan Alam Shah menjuarai kategori Bahasa Inggeris.

-- BERNAMA




#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Dewan Rakyat #perbahasan #ahli Parlimen #maki hamun