KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Pindaan (No 3) 2022, yang bertujuan untuk memperincikan peruntukan larangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri bertukar parti.

Ia dibentangkan untuk bacaan kali kedua, telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, untuk Bacaan Pertama di Dewan Rakyat pada 11 April 2022 yang lalu.

Ismail Sabri sewaktu membentangkan RUU tersebut berkata, ia bertujuan untuk meminda, memansuhkan peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti atau “lompat parti” atau dengan izin, “defection”, “party jumping” atau “floor crossing” yang telah menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum.

“Ini kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka di Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, terdapat beberapa parameter gubalan RUU tersebut, seperti mana yang diputuskan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas terhadap semua soalan berbangkit berhubung larangan ahli Dewan bertukar parti.

Penggubalan RUU Antilompat parti ambil masa setahun - Ismail Sabri


Pertamanya, beliau berkata, penguatkuasaan akta itu tidak bersifat retrospektif, selain ia merupakan pendekatan satu langkah (one step approach) dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti.

Perdana Menteri berkata, Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan, dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza ,adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Jelasnya lagi, keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat juga merujuk kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu (direct member of the coalition party).

Keanggotan Ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan, jelas Ismail Sabri, tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan RUU tersebut adalah keahlian seorang Ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik.

Perdana Menteri berkata, RUU tersebut menyebut penggunaan simbol parti politik dan parti gabungan tidak diambil kira.

Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, kata Ismail Sabri akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, terdapat tiga pengecualian terhadap Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti.

“Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya;

“Pelepasan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat daripada parti politik apabila dipilih menjadi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat; dan

“…pemecatan Ahli Dewan Rakyat dari keanggotaan dalam parti politik dikecualikan dari Ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat,” katanya lagi.