PM Najib, isteri sertai solat hajat sempena PRU14

Bernama
April 27, 2018 14:42 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (hadapan, dua, kiri) mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat sempena Penamaan Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pekan pada Pilihanraya Umum Ke-14 malam ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai solat hajat sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam ini.
Turut serta isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak lelaki mereka Norashman.
Hadir sama empat calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Khairuddin Mahmud (Pulau Manis); Sh. Mohmed Fuzi Sh. Ali (Peramu Jaya); Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar) dan Datuk Abu Bakar Harun (Chini).
Solat hajat yang disempurnakan selepas solat Maghrib disertai oleh kira-kira 500 jemaah itu kemudiannya diikuti tazkirah khas oleh penceramah bebas Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.
Antara lain, tazkirah selama setengah jam itu menyentuh mengenai nikmat kemakmuran, kepentingan membuat keputusan yang bijak untuk masa depan negara serta menjauhi dari menyebarkan berita tidak sahih.
Selepas solat Isyak, Perdana Menteri bersalam-salaman dengan jemaah sebelum bersama-sama mereka menikmati jamuan rakyat yang disediakan di perkarangan masjid.-- BERNAMA
#Barisan Nasional #menteri #Najib Razak #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya umum #PM #PRU14 #Rosmah Mansor