PM ziarah keluarga warga emas meninggal dunia akibat kanser limfoma

Azee Shafy
November 8, 2022 10:46 MYT
Perdana Menteri singgah untuk bertanya khabar dan mengetahui jika terdapat sebarang keperluan yang diperlukan oleh keluarga Allahyarham. - Gambar/ Astro AWANI
BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, meluangkan masa menziarahi keluarga warga emas, Abdul Hakim Md Akil, 60, yang meninggal dunia akibat pesakit kronik kanser limfoma semalam.
Beliau bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Datuk Sabariah Saidan tiba di rumah Allahyarham sekitar jam 3.20 petang di Kampung Paya Serai, di sini.
Isteri Allahyarham, Norrezaini Ismail, 55, memberitahu suaminya meninggal dunia pada petang semalam semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Katanya, Perdana Menteri singgah untuk bertanya khabar dan mengetahui jika terdapat sebarang keperluan yang diperlukan keluarganya.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang sudi jenguk kami di sini. Saya amat menghargainya," katanya.
Ujarnya, Allahyarham suaminya mengidap penyakit kanser limfoma tahap dua selama lebih dua tahun, dan baru-baru ini terpaksa dirawat di HTAA bagi mendapatkan rawatan susulan.
Anaknya, Suhaila Abd Halim, 21, pula memberitahu, dia bersyukur dengan kehadiran Perdana Menteri yang mengunjungi mereka sebagai menunjukkan keprihatinan beliau terhadap rakyat Bera.
"Terima kasih atas segalanya. Apapun, saya bersyukur segalanya urusan telah selesai.
"Cuma kini kehidupan kami akan bergantung sepenuhnya dengan pendapatan saya sebagai pembantu jualan di sebuah kedai serbaneka di Triang, selain bantuan-bantuan lain yang diperoleh ibu dan adik," katanya.
Jelasnya, adik bongsunya Nurul Eliyana Jasmin, 14, masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak.
Jenazah Abd Halim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Serdang kira-kira pukul 1 pagi tadi.
#PRU15 #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #penduduk bera meninggal dunia