POLITIK

PMX ada ‘DNA UMNO’, adil dalam melayani tuntutan - Ahmad Zahid

Firdaus Azil 17/01/2026 | 11:30 MYT
Ahmad Zahid berkata, Anwar sebenarnya tidak mampu untuk melayani semua tuntutan kerana harus mengimbangi pembahagian kuasa membabitkan 17 parti dalam Kerajaan Perpaduan.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menerima tekanan daripada ahli partinya sendiri, kerana dikatakan tunduk kepada UMNO.

Presiden UMNO itu berkata, Anwar sebenarnya tidak mampu untuk melayani semua tuntutan kerana harus mengimbangi pembahagian kuasa membabitkan 17 parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Namun, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata untuk bersifat adil, Perdana Menteri jelas sedaya-upaya mempertimbang dan memenuhi permintaan UMNO, atas semangat perpaduan.

“Presiden memberitahu ahlinya bahawa kita tidak boleh minta semua. Beliau tak mampu beri semua kerana ada 17 parti dalam kerajaan sekarang.

“Kita tak pernah tekan dan tak pernah minta PMX tunduk,” katanya sambil menegaskan UMNO hanya mempunyai 26 kerusi, manakala rakan-rakan Barisan Nasional (BN) lain mempunyai empat kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan 30 kerusi.

Namun begitu, Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN termasuk seorang wakil PBRS, tetap diberikan lapan jawatan menteri, serta jawatan pengerusi agensi yang datang dari Kementerian yang tidak diterajui UMNO dan BN.

Antara contoh, jelas Ahmad Zahid lagi, ialah pelantikan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda, selain beliau sendiri telah menerima surat rasmi pelantikan sebagai menteri yang menjaga Felda dan FGV.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO 2025, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, yang berakhir hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, pembahagian jawatan dan tanggungjawab dilakukan dengan mengambil kira keperluan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, bukan semata-mata UMNO atau BN.

Beliau turut menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang pemimpin yang memahami UMNO kerana latar belakang politik beliau sendiri.

“DNA beliau adalah DNA UMNO. Takkan kita anggap segala permintaan perlu dipenuhi. Tapi sedaya upaya PMX cuba memenuhi permintaan kita mengikut pembahagian yang ditentukan,” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai desakan beberapa perwakilan bahawa parti itu harus menilai semula hubungan dengan parti-parti lain dalam Kerajaan khususnya DAP, Ahmad Zahid menegaskan UMNO bukan sekadar pelengkap dalam pentadbiran.

“UMNO bukan daun karipuley. Nak kawan, buat cara kawan. Percayalah pada kawan,” katanya sambil menegaskan UMNO tidak akan mengkhianati rakan kerjasama politiknya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut memahami keresahan perwakilan tentang DAP, dan mejelaskan beberapa pemimpin DAP yang dianggap mengguris UMNO, datang daripada apa yang digelarnya sebagai “Team B dalam DAP”.

#PAU 2025 #Ahmad Zahid Hamidi #Anwar Ibrahim #UMNO