Skip to main content

Politik

PN akan cabar pembatalan, mohon tangguh hingga penentuan mahkamah Khamis ini

Takiyuddin (foto) berkata permohonan yang akan didengar pada Khamis ini turut berkait dengan kepentingan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka pada 14 November depan. -Foto fail
Takiyuddin (foto) berkata permohonan yang akan didengar pada Khamis ini turut berkait dengan kepentingan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka pada 14 November depan. -Foto fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mencabar kesahihan perintah pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan memohon supaya pelaksanaannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah pada Khamis ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata gabungan itu akan mengambil semua tindakan yang sewajarnya melalui saluran undang-undang bagi mencabar keputusan berkenaan.

Beliau turut menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan berhubung tindakan berkenaan, khususnya pendirian jabatannya di mahkamah ketika pendengaran permohonan penangguhan PN pada 22 Oktober ini.

"Pembatalan PN, penyalahgunaan kuasa yang nyata oleh kerajaan yang ketakutan. Pada hari ini 20 Oktober 2026, RoS telah membatalkan pendaftaran PN hanya dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan mendengar permohonan PN untuk menangguhkan tindakan pendaftar mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan menggantung semua aktiviti PN.

"Keputusan untuk bertindak sebelum pendengaran tersebut menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa ini dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman di mahkamah.

“PN akan mencabar kesahihan perintah pembatalan dan memohon supaya pelaksanaan serta kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Selasa.

RoS hari ini mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dan dokumen yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.

Takiyuddin berkata permohonan yang akan didengar Khamis ini turut berkait dengan kepentingan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November depan.

Beliau mendakwa tindakan berkenaan berpotensi menjejaskan pilihan pengundi yang mahu memberikan sokongan kepada PN, namun menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk ditentukan.

“Kita juga membela hak rakyat Melaka yang mahu PN. Itu satu lagi aspek yang ditekankan oleh PN, bukan hanya mementingkan kepentingan Perikatan Nasional sahaja, tetapi juga kepentingan rakyat jelata, khususnya rakyat negeri Melaka,” ujar beliau lagi.

Mengulas peruntukan undang-undang berkaitan, beliau berkata Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 membolehkan pihak yang terkilan dengan keputusan Pendaftar Pertubuhan, mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan.

Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan parti-parti komponen PN kekal bersatu untuk mempertahankan hak serta mandat rakyat melalui saluran perundangan dan proses demokrasi.

Must Watch Video

Advertisement