Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau bukan seorang penjajah yang mahu menjajah Sabah di bawah parti Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, jelas Perdana Menteri, apa yang penting ialah kerjasama di antara kerajaan negeri serta Persekutuan bagi sama-sama memajukan Sabah dan Malaysia.

Tegasnya, pembangunan di Sabah bukan hanya dapat diteruskan tetapi dilakukan dengan segera bagi manfaat rakyat.

"Apa yang penting bagaimana kita melihat masa depan. Kita mahu melihat pergerakan (pembangunan) di Sabah bukan sahaja pergerakan biasa tetapi dengan cepat dan segera.

"Namun, untuk memperhebatkan proses itu perlu sokongan dan sumber daripada kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak swasta.

"Sebab itu saya berada di sini bukan untuk menceritakan yang mustahil; saya mahu menceritakan yang hak dan perkara yang boleh saya lakukan.

"Saya juga tidak janjikan bulan dan matahari kerana saya tidak ada kuasa," katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Padang Pekan Kota Marudu.

Hadir sama, Calon PN di DUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda; Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas mengenai usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19, Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan menerusi bantuan prihatin dan Penjana selain bantuan-bantuan agensi berkaitan kerajaan.

Justeru, tegasnya, mana-mana pihak diingatkan tidak memperlekehkan bantuan yang disalurkan kerajaan Persekutuan.

"Ekonomi mesti dipulihkan dengan segera. Saya tidak cakap Warisan (Parti Warisan Sabah) tidak buat apa-apa. Tetapi ia tidak mencukupi.

"Salah satu cara baik dari segi kesihatan, nyawa dan kehidupan adalah dengan membentuk gabungan kerjasama rapat di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang saya pimpin iaitu Perikatan Nasional," katanya.

Parlimen Kota Marudu merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 iaitu DUN Matunggong, Bandau dan Tandek.