POLITIK

PN yakin tawan semula Putrajaya dalam PRU16

Faida Rahim 06/09/2025 | 03:50 MYT
Hamzah menegaskan bahawa kepimpinan sebelum ini membuktikan Bersatu dan PN mampu mentadbir negara dengan lebih baik berbanding Kerajaan MADANI. - Gambar fail
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan keyakinan bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menawan semula tampuk pemerintahan negara dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.


Ringkasan AI
  • Hamzah Zainudin yakin PN mampu kembali ke Putrajaya pada PRU16, berdasarkan rekod pentadbiran terdahulu.
  • Beliau tegaskan pilihan raya akan datang penting untuk masa depan generasi, bukan sekadar perebutan kuasa.
  • Bersatu diseru bersiap siaga sepenuhnya, dengan kepimpinan berpengalaman untuk memacu Malaysia ke arah negara maju.


Berucap ketika merasmikan Majlis Perasmian Sayap-Sayap Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kelapan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pagi tadi, Hamzah berkata keupayaan PN telah pun terbukti melalui pentadbiran terdahulu.

“Insya-Allah, kita akan kembali ke Putrajaya tidak lama lagi. Kita pernah memimpin negara, pertama kali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya di hadapan lebih 2,000 anggota Bersatu yang hadir.

Beliau menegaskan bahawa kepimpinan sebelum ini membuktikan Bersatu dan PN mampu mentadbir negara dengan lebih baik berbanding Kerajaan MADANI yang ada sekarang.

Menurut Hamzah, PRU16 bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi merupakan penentu masa depan generasi akan datang agar tidak menjadi pelarian di tanah air sendiri.

“Pilihan raya akan datang adalah episod paling penting. Bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk menentukan masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita agar tidak menjadi pelarian di bumi sendiri. Inilah perjuangan kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua sayap parti agar bersiap siaga dari segi tenaga, masa dan kewangan bagi memastikan kejayaan perjuangan Bersatu.

“Bersatu dan Perikatan Nasional mempunyai barisan kepimpinan yang cukup pengalaman untuk memacu Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi, dengan kemakmuran yang dapat dikongsi bersama,” katanya.

Ucapan Hamzah diakhiri dengan sorakan ‘Hidup Bersatu’ dan laungan semangat daripada perwakilan Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu yang memenuhi dewan, diselang-seli dengan ungkapan seperti ‘Bangunlah, Bangun Berjuanglah’.











#Hamzah Zainuddin #Perikatan Nasional #Putrajaya #PRU16