POLITIK

Politik abad ke-21 tuntut keberanian dan pembaharuan - Hamzah

Faida Rahim 06/09/2025 | 03:20 MYT
Hamzah (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung Sayap BERSATU kali ke-8 di Shah Alam, Sabtu. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan bahawa politik abad ke-21 menuntut pembaharuan, keterbukaan, keberanian serta kepekaan terhadap aspirasi semasa rakyat.


Ringkasan AI
  • Hamzah Zainuddin tegaskan politik abad ke-21 perlu berani, terbuka dan relevan dengan aspirasi rakyat, bukan terikat pada nostalgia.
  • BERSATU diseru agar dinamik, berprinsip dan tangkas dalam perjuangan, dengan idealisme inklusif, demokratik dan berintegriti.
  • Perhimpunan Agung BERSATU 2025 dianggap penting menjelang PRU-16, sebagai penentu hala tuju dan kelangsungan parti dalam politik negara.


Katanya, negara tidak boleh terus terbuai dengan nostalgia, sebaliknya perlu bergerak ke hadapan demi mencipta kejayaan masa depan.

“BERSATU mesti dinamik dan memiliki kekuatan moral sebagai kompas kepimpinan. Kekuatan ini penting untuk membina keyakinan rakyat,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Sayap BERSATU kali ke-8 di Shah Alam, Sabtu.

Beliau turut menekankan keperluan kelestarian yang berasaskan kebitaraan, serta penghayatan epistemologi tawhidik sebagai panduan perjuangan.

Hamzah menyeru agar BERSATU membina jati diri perjuangan berteraskan semangat nasionalis yang inklusif dalam usaha membentuk negara bangsa.

Menurutnya, sebagai “nakhoda zaman”, parti perlu berpegang kepada idealisme teras iaitu inklusif, sederhana, demokratik, berintegriti dan prihatin.

“BERSATU juga perlu tangkas, bingkas dan cerdas. Kita mesti berani mencabar kelaziman dan kreatif dalam melakar pembaharuan.

"Dan yang paling penting, kita perlu ada daya tahan (‘resilience’) dalam perjuangan, apatah lagi sebagai parti pembangkang,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti agar tidak mudah menyerah atau berputus asa, dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan sama ada dari dalam atau luar.

“Insya-Allah, apabila semua ini menjadi kenyataan, rakyat akan kembali memberi kepercayaan. BERSATU dan Perikatan Nasional akan kembali memimpin negara.

"Dengan izin Allah, kita akan mengangkat negara ini ke mercu kegemilangan dunia dan akhirat,” katanya.

Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU 2025 yang berlangsung selama dua hari di IDCC Ideal Convention Centre, Shah Alam, disifatkan sebagai amat penting bagi menentukan kesinambungan dan kelangsungan parti dalam landskap politik negara, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang semakin hampir.


#Hamzah Zainuddin #Bersatu #Perikatan Nasional #Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia