BANDAR HILIR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berpandangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak wajar diteruskan.

Presidennya Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana pengajaran apa yang pernah berlaku pada PRN Sabah tahun lalu patut diambil kira memandangkan negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.

“Bagi parti Gerakan pendirian kita memang tidak mahu PRN ini dilaksanakan atas sebab tidak ada yang lebih penting daripada nyawa rakyat kerana kita bimbang wabak COVID-19 ini tidak boleh dikawal.

“Tetapi jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan mesti adakan juga PRN ini, kita tetap akan mengambil bahagian, bagaimanapun rundingan kerusi dan sebagainya hanya akan diputuskan selepas pengumuman SPR,” katanya

Beliau berkata demikian kepada media selepas persidangan perwakilan parti Gerakan Melaka di Melaka Raya, di sini.

Isnin lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan kerana Kerajaan Negeri Melaka hilang majoriti dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, PRN perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

BACA: DUN Melaka dibubar - Speaker

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) - Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut ujarnya, Gerakan yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) yakin gabungan itu boleh bergerak sendiri untuk menghadapi PRN sekiranya ia terpaksa dilaksanakan.

“Kita telah pun membuat keputusan sebelum in samada Pilihan Raya Umum (PRU) atau PRN, kita akan bawa bendera PN yang mana ini adalah keputusan oleh pucuk pimpinan PN.

“Jadi, apa jua keputusan pucuk pimpinan kita akan akur dengan segala peranan yang perlu parti mainkan pada PRU dan PRN akan datang,” tambahnya.