Politik Perak: Hadi Awang selesai menghadap Sultan Perak

Abd Hadi Che Awang
Disember 15, 2020 04:08 MYT
Abdul Hadi Awang melambai ke arah petugas media sebaik kenderaan yang membawa beliau keluar dari Istana Kinta, Ipoh pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu dilihat keluar dari pekarangan istana kira-kira jam 11.39 pagi.
Beliau turut melambai kepada petugas media yang telah menunggu sejak jam 9.30 pagi.
Baru-baru ini, Abdul Hadi mengirim sepucuk surat ke istana untuk memohon menghadap Sultan Nazrin bagi menyatakan niatnya untuk memaklumkan mengenai 'situasi politik yang melibatkan Pas'.
Parti itu juga menolak tuduhan bahawa ketidakhadiran itu merupakan tindakan derhaka terhadap sultan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan berkata, Presiden Pas itu menjunjung kasih terhadap Sultan Perak.
Menurutnya, Abdul Hadi merakamkan setinggi junjung kasih kepada Sultan Nazrin di atas keprihatinan dan hikmah kebijaksanaan yang dizahirkan oleh baginda terhadap kemaslahatan agama, kestabilan politik dan ekonomi, serta kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat jelata.
BACA: Politik Perak: Hadi Awang menghadap Sultan pagi ini
BACA: Hadi Awang mohon menghadap Sultan Perak?
#Presiden Pas #Abdul Hadi Awang #Sultan Perak #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #menghadap #Istana Kinta #Ipoh #politik perak #kemelut politik #mohon menghadap