KUALA LUMPUR: Kemelut politik di negeri Sabah boleh dileraikan sekiranya melibatkan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Demikian jelas Penganalisis Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo Universiti Malaysia Sabah (GeoPES UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad berhubung situasi politik di negeri itu ketika ini.

"Saya yakin campur tangan kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri terhadap isu sudah tentu memberi kesan langsung bukan setakat ekonomi malah politik itu sendiri di Sabah.

"Ia memberi impak besar dalam menentukan hala tuju kerajaan negeri pada 2023, saya yakin Perdana Menteri ada perancangan tertentu yang jitu untuk memastikan pihak-pihak yang bertelagah sekarang ini mendapat apa sepatutnya mereka dapat secara menang-menang," jelasnya.

Tambah Syahruddin, kemelut politik itu berlaku apabila tiga komposisi parti politik mempunyai pandangan berbeza mengenai kedudukan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

"Kalau kita perhatikan ketiga-tiga komposisi yang menuntut satu sama lain ini sebenarnya berada di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Warisan diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Barisan Nasional), demikian juga Datuk Seri Hajiji Noor, dia menyatakan sokongan GRS sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

"Saya yakin dengan campur tangan Perdana Menteri, situasi agak kusut sejak empat hari ini dapat dileraikan dengan cara betul baik, cara prinsip mahupun teknikal perundangan itu sendiri," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.

Pantau Kerajaan Baharu: Kemelut Politik Sabah | Sampai bila mahu selesai?


Sebelum ini, Anwar berkata beliau telah berhubung dengan Hajiji dan berpuas hati dengan keadaan semasa di negeri itu.

Tambah Anwar, beliau akan memberikan perhatian khusus tentang perkembangan di Sabah itu.