KOTA KINABALU: Kemelut politik Sabah terus hangat apabila gambar-gambar pertemuan di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dimuat naik di media sosial.

Perkara itu sekali gus seolah-olah memadamkan dakwaan bahawa ADUN PH Sabah terlibat dalam pergolakan politik serta penglibatan menubuhkan kerajaan baharu di negeri tersebut.

Menerusi gambar yang dikongsikan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di akaun Instagram beliau pada Khamis, kelihatan seramai 38 orang ADUN daripada GRS dan PH sedang berkumpul di dalam satu majlis tertutup.

Antara pimpinan PH kelihatan hadir dalam majlis tersebut termasuk Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas), dan Peto Galim (Inanam).

Situasi tersebut sekali gus menguatkan khabar angin yang beredar sebelum ini bahawa naratif menukarkan kerajaan negeri dipelopori oleh BN dan Warisan.

Pada masa yang sama, sidang media Warisan yang sepatutnya diadakan pada jam 4.30 petang di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu turut dibatalkan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan pembatalan sidang media tersebut namun enggan memberikan sebarang alasan mengenainya.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan media bersama semua ADUN PH Sabah petang Khamis memaklumkan, mereka tidak tidak memberikan akuan bersumpah (SD) menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.

Sehubungan itu, semua ADUN PH Sabah tewrsebut memerhati dengan serius perkembangan politik di negeri itu yang kini bertiup kencang.