Politik Sabah: SD sudah dihantar, tidak puas hati boleh ke mahkamah - Hajiji

Abdul Hafiz Mustadi
Januari 8, 2023 09:02 MYT
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) bergambar bersama pemimpin parti selepas mengadakan mesyuarat bersama pemimpin GRS, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Sri Gaya hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akhirnya membuka mulut dan mengesahkan beliau mempunyai sokongan daripada 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.
Tegas Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu lagi, surat akuan bersumpah (SD) ADUN-ADUN tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Sabtu.
Dengan pengesahan ini ia berkemungkinan menamatkan kemelut politik Sabah.
"Untuk makluman semua kita mempunyai sokongan majoriti drpd 44 ADUN Sabah. Ini bermakna kerajaan yang ada ini saya pimpin ini masih lagi utuh dan kuat dan akan terus mentadbir negeri Sabah," katanya ketika ditemui di Sri Gaya, Kota Kinabalu pada Ahad.
Selain itu Hajiji memaklumkan akan mengadakan rombakan kabinet negeri dalam waktu terdekat.
Ditanya mengenai segelintir pihak yang mempertikaikan kedudukannya berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, Hajiji optimis pihak berkenaan boleh membawa perkara itu ke mahkamah.
"Mengenai Perlembagaan Negeri ini mana yang tidak berpuas hati mereka boleh bawa ke mahkamah untuk diputuskan," katanya.
#Politik Sabah #Hajiji Noor ada sokongan #sokongan ADUN Sabah #Tun Juhar Mahiruddin