Wakil rakyat pembangkang di Sabah yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengubah lanskap pentadbiran kerajaan negeri ini memandangkan ia tertakluk kepada keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darrel Leiking berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu sudah memaklumkan sebelum ini mana-mana wakil rakyat bekas UMNO di Semenanjung tidak akan diberikan sebarang kedudukan.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu benar di mana 'mereka' menyertai Bersatu dalam tempoh terdekat, ia juga tidak menjadi masalah kepada Warisan memandangkan parti berkenaan merupakan goverment of the day dengan mempunyai lebih 40 wakil rakyat.

"Tidak apa-apa, Warisan adalah government of the day dan kita mempunyai menteri-menteri.

"Tun Mahathir pernah menjelaskan sedangkan di Semenanjung yang memasuki Bersatu daripada UMNO tidak akan dapat jawatan di mana-mana kedudukan Kerajaan Persekutuan, jadi saya berpendapat ia juga tidak berlaku di Sabah kerana bukannya Tun M yang menentukan kabinet tetapi ia terserah kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," katanya.

Darrel berkata demikian ketika selepas melancarkan program Marii satelite di Donggongon Avenue, Penampang, pada Sabtu.

Mengulas mengenai isu berkenaan, Darrel yang juga menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden Parti Warisan yakni Mohd Shafie untuk mengeluarkan kenyatan berhubung isu terbabit.

Jelasnya, Mohd Shafie dijangka akan mengumumkan sesuatu berhubung perkara tersebut dalam tempoh terdekat.

"Memang ada perjumpaan di antara kami tetapi ianya hanya kebetulan bukannya berkenaan isu ini dan kami berjumpa bagaimana mendapatkan maklumat untuk dijelaskan kepada rakyat tentang apa yang berlaku di Sabah.

"Harap bersabar, Datuk Mohd Shafie sebagai Presiden Warisan akan membuat kenyataan nanti," katanya.

Terdahulu, pada satu sidang media pada Jumaat, Dr Mahathir telah mengumumkan Bersatu akan mula bertapak di Sabah tidak lama lagi.

Bagaimanapun beliau menafikan tujuan menubuhkan parti Bersatu di Sabah adalah untuk memberi saingan kepada parti Warisan.

Mengulas mengenai perasmian Marii Satelite Sabah, Darrel mendedahkan ia merupakan pusat kedua dibuka selepas Lembah Klang, Selangor.

Marii Satelite Sabah bakal menjadi pusat tumpuan untuk pembangunan automotif, robotik dan Internet di negeri ini bagi membawa penerapan teknologi kepada rakyat Sabah.

caption:

DARREL (tengah) memotong reben sebagai simbolik kepada program Marii satelite di Donggongon Avenue, Penampang, pada Sabtu.