POLITIK

Posisi MB Selangor wajar dipertimbangkan untuk Nurul Izzah - Penganalisis

Seth Akmal 12/06/2025 | 13:30 MYT
Nurul Izzah menang jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan penyandangya Datuk Seri Rafizi Ramli dengan undian sebanyak 9,803 undi semasa pemilihan parti yang berlangsung pada 23 Mei. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar harus ditempatkan dalam posisi pentadbiran seperti Menteri Besar Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpendapat bahawa posisi tersebut bertujuan agar Nurul Izzah dapat memanfaatkan pengalaman politik dan akses kepada maklumat kerajaan.
“Jaga parti tanpa ada akses kepada kerajaan, kita tahu, kalau tak ada jawatan maklumat tak akan dapat.
"Bagi saya, untuk diberikan pengalaman, antaranya posisi Menteri Besar Selangor, dan apa sahaja halangan parti kena come out (pertahankan),” katanya.
Malah penganalisis politik itu juga berpendapat tindakan tersebut dilihat sebagai jajaran baharu yang wajar dipertimbangkan oleh PKR.
Beliau berkata demikian semasa wawancara The Tiger Show Podcast di mana Astro AWANI selaku rakan strategik yang dihoskan oleh wartawan veteran Amin Iskandar mengenai perkembangan karier politik Nurul Izzah yang juga anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah Amin turut mengesyorkan agar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ditempatkan dalam pentadbiran pusat atau persekutuan.
Selain daripada menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin juga menyandang sebagai Ahli Parlimen Gombak.
Nurul Izzah menang jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan penyandangya Datuk Seri Rafizi Ramli dengan undian sebanyak 9,803 undi semasa pemilihan parti yang berlangsung pada 23 Mei lalu.
Media turut melaporkan bahawa Nurul Izzah tidak berminat untuk menyertai Kabinet sebaliknya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada parti dan agenda reformasi.
Nurul Izzah turut menegaskan kepentingan menyatukan semula gerak kerja antara pimpinan pusat dan cabang agar strategi politik parti tidak bergerak dalam silo.
Selain pernah menjawat sebagai Naib Presiden PKR beliau juga merupakan antara calon termuda berumur 28 tahun memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Piihan Raya Utama (PRU) ke-12 pada 2008 dan kekal selama dua penggal sebelum beralih ke Parlimen Permatang Pauh pada PRU ke-14 dan tewas pada PRU ke-15 pada 2022.
#Nurul Izzah Anwar #MB Selangor #ILHAM Centre #Hisommudin Bakar