KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah menerima mandat untuk tentukan tarikh yang sesuai bagi kesemua pemegang jawatan utama dalam Kerajaan dari UMNO, untuk melepaskan kedudukan mereka, kata Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sewaktu berucap menggulung Perhimpunan Agung UMNO 2020 malam ini, beliau berkata, mandat itu akan digunakan bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, membubarkan Parlimen mengikut tarikh yang sesuai.

Katanya lagi, beliau yakin baik Menteri, Timbalan Menteri, ataupun Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan akur pada keputusan MKT.

“Kalau ini keputusan mereka (PN), saya yakin rakan kita dalam MKT, yang mandat diberikan kepada kita… Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi GLC, dan semua Ahli-ahli Parlimen UMNO, akan 100 peratus akur pada keputusan parti untuk tarik diri dari Perikatan Nasional.

“Kalau tarik diri, ini merupakan keputusan parti. Mereka tidak akan gusar untuk letak jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC demi mematuhi keputusan dibuat parti,” katanya lagi.

Terdahulu, sumber memaklumkan, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, telah mengusulkan agar tarikh tamat bagi PN membubarkan Parlimen, selewat-lewatnya bulan Ogos ini.

Media difahamkan, Ahli Parlimen Machang itu telah memberi kata dua kepada perwakilan, terutamanya pemegang jawatan dalam Kerajaan, jika tidak akur pada usul tersebut, ia seolah-olah mereka tidak mendengar sentimen akar umbi.

Berucap lanjut, Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dirasakan perlu kerana beliau telah menyebutkan dalam ucapan dasarnya awal hari ini, Kerajaan sedia ada mempunyai hasrat untuk melanjutkan tempoh sehingga habis penggal, iaitu 2022.

"Saya kagum, semalam Ketua Pemuda (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) begitu juga Ketua Puteri (Datuk Zahida Zarik Khan), telah menyatakan dengan jelas, mereka terjemahkan denyut nadi rakyat, dan mereka juga menyarankan supaya UMNO tarik diri dari terus berada dalam Perikatan Nasional," katanya lagi.

Terdahulu, PAU 2020 telah meluluskan beberapa, antaranya terus mempertahankan asas dan tujuan parti dalam memartabatkan Islam, mengukuhkan kedudukan Melayu dan Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli, serta menyantuni pelbagai kaum.

PAU 2020 juga telah menerima dan mempertahankan keputusan MKT pada 19 Februari 20201, bahawa tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15, dan kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Selain itu, PAU 2020 bersetuju dengan gesaaan akar umbi dan kepimpinan untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15, bagi mewujudkan kerajaan stabil bagi menjamin kemakmuran negara, dan menggunakan lambang Barisan Nasional pada PRU akan datang.

Dan yang terakhir, PAU 2020 juga akan terus mempertahan, memperkukuh, dan memperkasa Muafakat Nasional, berasaskan piagam yang dimeterai pada 14 September 2019.