PERMATANG PAUH: Maklum balas positif masyarakat terhadap kepimpinan dan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua bulan menerajui negara diharapkan akan terus memberi keyakinan kepada pengundi untuk menyokong kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, melalui kaji selidik yang dijalankan firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Center baru-baru ini mendapati 68 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Anwar.

Menurutnya, sokongan rakyat itu perlu diterjemahkan atas kertas undi pada PRN di enam buah negeri yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

"Sudah pasti segala persiapan bagi menghadapi PRN sedang dirangka untuk merancakkan lagi kempen tapi dalam masa sama kita mesti berdepan dengan realiti untuk bersama-sama bagi tumpuan kepada pembangunan negara.

"Saya percaya ada keseimbangan di situ namun persiapan kita telah bermula dan saya harap rakyat dapat buat penilaian kali ini untuk kembalikan keyakinan kepada kerajaan perpaduan," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis pelepasan anak benih projek komuniti 'farm to farm' ternakan ikan keli lestari di Bukit Langkap, Penanti pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin.

Melalui tinjauan Merdeka Center sebelum ini mendapati 68 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua bulan menerajui negara.

Tinjauan membabitkan1,209 pengundi pelbagai kaum itu dijalankan bermula 26 Disember hingga 15 Januari lalu.

Merdeka Center berkata, kajian itu juga mendapati, 54 peratus responden berpuas hati dengan prestasi baharu kerajaan Persekutuan dan hanya 25 peratus menyatakan tidak berpuas hati. -Sinar Harian