KUALA TERENGGANU: Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengakui beliau bersedia untuk 'dihukum' oleh pengundi di kawasan itu susulan isu mahkamah yang dihadapinya ketika ini.

Bagaimanapun, anak jati Kampung Durian Burung itu berkata, beliau percaya para pengundi mengetahui 'cerita sebenar' di sebalik petisyen yang difailkan UMNO terhadapnya sebelum ini.

Ahmad Amzad berkata, beliau tidak akan mengalah dan akan terus bekerja keras bagi memenangkan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen itu 12 Ogos ini.

"Kita menyerahkan kembali kepada rakyat di Kuala Terengganu yang faham tentang apa yang berlaku di parlimen ini untuk membuat keputusan.

"Saya tak kisah kalau rakyat Kuala Terengganu rasakan ini (program anjuran kerajaan negeri) salah dan nak hukum saya, hukumlah. Tiada masalah kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya di Parlimen tersebut.

Keputusan itu dibuat setelah UMNO Terengganu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pada 3 Januari lalu.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mengeluarkan larangan bagi Ahmad Amzad untuk kembali bertanding pada PRK kali ini.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, beliau akan lebih berhati-hati dalam setiap setiap gerak kerja yang akan dilaksanakan selepas ini bagi memastikan ia tidak melanggar peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya perlu pastikan gerak kerja kempen saya tidak melibatkan diri saya sehingga membawa kepada perkara seperti ini.

"Saya juga telah meminta wakil saya supaya memastikan tiada sebarang bentuk tindakan yang boleh ditafsirkan sehingga membawa kepada petisyen seperti ini yang sekali gus merugikan diri saya sendiri," ujarnya.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru iaitu Ahmad Amzad akan menentang calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.

Beliau mendapat 63,016 undi, mengetepikan tiga lagi pencabarnya iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 10,946 undi; Datuk Mohd Zubir Embong daripada Barisan Nasional (BN) dengan 22,109 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi). - Sinar Harian