[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
POLITIK

PRK Ayer Kuning: BN umum manifesto, tiga tekad utama, tujuh tawaran

Abd Razak Mohd Ali 20/04/2025 | 06:00 MYT
Manifesto yang bertemakan “Ayer Kuning Sejahtera Bersama” itu menggariskan tiga tekad utama dengan tujuh tawaran.
TAPAH: Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Manifesto yang bertemakan “Ayer Kuning Sejahtera Bersama” itu menggariskan tiga tekad utama dengan tujuh tawaran.
Calon BN, Mohamad Yusri Bakir berkata, intipati manifesto itu lahir hasil cetusan harapan masyarakat setempat, hasil daripada mendengar sendiri cerita, luahan dan aspirasi yang dizahirkan oleh penduduk Ayer Kuning.
“Ia juga disusun dengan teliti berdasarkan pengamatan di lapangan,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan BN di Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Haji Tahir, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan
Mohamad Yusri berkata tiga tekad yang menjadi asas kepada keseluruhan usaha itu ialah:
  1. Menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Ayer Kuning.
  2. Menolak sebarang sentimen perkauman dan politik kebencian yang memecahbelahkan rakyat.
  3. Menghubungkan inisiatif sosioekonomi di DUN Ayer Kuning selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Mohamad Yusri turut mengemukakan tujuh tawaran utama yang akan diketengahkannya.
Tujuh tawaran itu ialah ekonomi tempatan yang makmur; meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat; pembangunan infrastruktur setempat; agenda anak muda dan TVET; prihatin warga emas, wanita dan Orang Asli; pendidikan berkualiti untuk anak jati Ayer Kuning dan perkhidmatan ADUN yang berjiwa rakyat.
Menjelaskan lanjut, Mohamad Yusri memberi jaminan manifesto itu bukan sekadar tawaran politik, tetapi ikrar, tanggungjawab, dan komitmennya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk.
“Insya-Allah, jika diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya akan pastikan visi Ayer Kuning Sejahtera Bersama diterjemahkan menjadi kenyataan,” ujarnya.
#PRK Ayer Kuning #Calon BN #manifesto BN #Mohamad Yusri Bakir