[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
POLITICS

PRK Ayer Kuning: Calon terima nasihat Jabatan Mufti Perak, henti ceramah di masjid

Bernama 16/04/2025 | 07:49 MYT
Calon Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek, yang juga Pengerusi PN Tapah, pada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. - fotoBERNAMA
TAPAH: Calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek telah dinasihatkan Jabatan Mufti Negeri Perak supaya tidak lagi mengajar atau menyampaikan ceramah di masjid dan surau selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengurus kempen calon berkenaan Misbahul Munir Masduki berkata Abd Muhaimin akur dengan nasihat berkenaan serta menghentikan sebarang aktiviti mengajar dan menyampaikan tazkirah di masjid dan surau.
"Calon mematuhi sepenuhnya nasihat yang diberikan pihak Jabatan Mufti," katanya pada sidang media harian PN di sini hari ini.
Ditanya sekiranya pentauliahan mengajar agama kepada Abd Muhaimin telah ditarik balik, Misbahul Munir berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.
Sebelum ini, polis Perak telah merakam percakapan calon PN itu yang merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah berhubung isu tauliah mengajar agama, namun menyerahkan perkara itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk tindakan lanjut.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
-- BERNAMA
#PRK Ayer Kuning #Abd Muhaimin Malek #Bawani KS #Mohamad Yusri Bakir