Bagaimanapun, jurucakap polis Perak bagi PRK DUN Ayer Kuning SAC Zaharudin Rasip berkata polis menyerahkan perkara itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk tindakan lanjut.
"Pihak kami tidak ada buka kertas siasatan kerana ini melibatkan tauliah dan dia sebagai calon tidak tergugat setakat ini kerana itu bukan syarat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya pada sidang media harian PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak Ahmad Munzirie Ahmad Kabir membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama oleh Abd Muhaimin.
Ahmad Munzirie mendakwa Abd Muhaimin memperoleh tauliah mengajar agama meskipun memegang jawatan politik yang disifatkan bercanggah dengan garis panduan sedia ada.
Difahamkan Abd Muhaimin menjawat jawatan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah sejak 2015 hingga 2017 dan kini memegang jawatan Yang Dipertua PAS di kawasan sama.
Sementara itu, Zaharudin berkata dua lagi laporan polis diterima semalam, berkaitan kempen PRK berkenaan melibatkan isu pemasangan bahan kempen serta penggunaan gambar individu tanpa kebenaran.
Beliau berkata dalam satu kes di Mambang Di Awan, Kampar, seorang lelaki berusia 47 tahun membuat laporan mengenai banting parti politik yang menghalang pandangan pengguna jalan raya dan tindakan segera telah diambil dengan meminta wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) menurunkan banting terbabit.
Satu lagi kes melibatkan seorang wanita berusia 42 tahun yang mendakwa gambar suaminya bersama calon PN dicetak menjadi poster tanpa kebenaran dan digunakan dalam kempen.
"Kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah dan poster terbabit telah diturunkan," katanya.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin dan calon PSM Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April manakala pengundian awal pada 22 April.
-- BERNAMA
