POLITICS
PRK Ayer Kuning: PSM calonkan wanita, anak tempatan
Bawani (empat, kiri) yang merupakan seorang peguam adalah calon PSM. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencalonkan Bawani KS sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj membuat pengumuman tersebut semasa majlis penyampaian watikah calon di Bilik Gerakan PSM di Perak, tengah hari tadi.
Bawani yang juga Timbalan Setiausaha Agung PSM merupakan anak tempatan berasal dari DUN Ayer Kuning berikrar untuk membawa suara alternatif.
“PSM bertanding untuk membawa suara alternatif rakyat agar dapat diperdengarkan,” kata Bawani.
Bawani, pernah menyandang jawatan sebagai Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/I di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan terlibat dalam pengorganisasian masyarakat akar umbi bersama Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC).
Sebelum ini, beliah lebih dikenali apabila viralnya video Listen, Listen, Listen, klip pendek yang pernah tular kerana keberaniannya dalam mempersoalkan fasilitator semasa sesi soal jawab dalam program membasmi pelajar universiti dalam gerakan politik di negara ini.
Beliau yang juga seorang peguam sebelum ini bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak pada 2018 namun tewas dengan calon Pakatan Harapan, Leong Cheok Keng.
Semalam, Barisan Nasional mencalonkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri Bakir sebagai calonnya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah meninggal akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pemilih biasa dan 582 anggota polis dan pasangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.