PRK DUN Jepak: Tarikh penting dijangka diketahui hari ini

Bernama
September 25, 2023 00:20 MYT
Tan Sri Abdul Ghani Salleh akan mempengerusikan mesyuarat khas pada 10 pagi ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak dijangka diketahui hari ini.
Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi tujuan itu yang akan dipengerusikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh di Menara SPR, Putrajaya, bermula 10 pagi hari ini.
Abdul Ghani turut dijadual mengadakan satu sidang media sejurus selepas mesyuarat itu yang akan menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRK DUN itu.
Selasa lepas, SPR memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan luar jangka kerusi N67 Jepak, susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.
Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.50 petang ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 Sept lepas.
Allahyarham ialah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.
Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak. - BERNAMA
#PRK DUN Jepak #Suruhanjaya Pilihan Raya #Abdul Ghani Salleh #Datuk Talib Zulpilip