PRK DUN Pelangai: Jangan terlalu yakin, pihak lawan telah bermukim - Zahid

Hasimi Muhamad
September 23, 2023 04:21 MYT
Zahid (tiga, kanan) ketika mengiringi calon BN Datuk Amizar Abu Adam (empat, kanan) bersama penyokong tiba di pusat penamaan calon bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, hari ini. -Bernama
BENTONG: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak terlalu yakin walaupun gabungan itu dilihat mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 7 Oktober depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rekod di atas kertas menunjukkan BN, dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH), dijangka mampu menang selesa.
Begitu pun, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, jentera parti masih perlu berhati-hati dengan pihak lawan.
"Jangan pernah ambil mudah, dulu Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dapat majoriti 4,000 lebih dan calon PH ketika itu dapat 2,000 lebih, di atas kertas jumlahnya memang melebihi 6,000.
"Tetapi jangan pernah terlalu yakin sebab pihak lawan telah bermukim di sini dan menggunakan pendekatan tidak melakukan ceramah besar-besaran.
"Apa kita lakukan mesti mengambil langkah-langkah antaranya mendekati dan merapati pengundi di Pelangai," katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini.

Tiba di perkarangan Bilik Gerakan Cawangan Kemasul, DUN Pelangai pagi ini bersama jentera serta penyokong Barisan Nasional & Pakatan Harapan bagi sesi penamaan calon yang akan berlangsung sebentar nanti.#PRKPelangai pic.twitter.com/ff7zpCd0bs

— Ahmad Zahid Hamidi (@DrZahidHamidi) September 23, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ditanya mengenai sokongan pengundi Melayu yang melebihi 75 peratus di DUN berkenaan, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, berkata kemenangan pada PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan sokongan pengundi kumpulan itu masih bersama BN.
"Apa yang sebutkan tadi bukan kaedah biasa, kita perlu menggunakan beberapa langkah yang agak luar biasa yang sesuai dengan kehendak dan citarasa pengundi Pelangai dan kawasan sekitarnya.
"BN menaruh harapan tinggi agar calon yang kita pilih ini dalam kalangan orang Pelangai dan beliau juga anak Felda.
Tentunya lebih 16,000 pengundi di Pelangai sangat mengharapkan agar dilakukan kesinambungan perkhidmatan sebagaimana yang dilakukan oleh Allahyarham Johari," tambah Ahmad Zahid.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 September sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober sebagai hari pengundian.
Pada pilihan raya umum lalu Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi), dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
PRK kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam; calon PN, Kasim Samat; dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
#PRK DUN Pelangai #Zahid Hamidi #Johari Harun #hari penamaan calon