PRK Jepak: Cuaca diramal cerah pada hari penamaan calon esok

Bernama
Oktober 20, 2023 09:26 MYT
Petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan akhir sempena proses penamaan calon PRK Jepak esok. - Foto Bernama
BINTULU: Keadaan cuaca pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di sini esok, diramal cerah pada sebelah pagi.
Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, Bintulu diramal akan dilanda ribut petir di beberapa kawasan pada sebelah petang, manakala cuaca baik pada malamnya.
Pusat penamaan calon PRK Jepak di Dewan Suarah Bintulu di sini akan dibuka pada 9 hingga 10 pagi esok.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 Nov ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing esok dan 31 Okt.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.
PRK itu menyaksikan seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.
-- BERNAMA
#PRK Jepak #hari penamaan calon #cuaca #MetMalaysia