KUALA LUMPUR : Calon Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi, iaitu dengan majoriti 37,220 undi pada Sabtu.

Beliau menewaskan Calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang hanya memperolehi 27,778 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Seramai 141,382 pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat baharu pada PRK Kemaman kali ini.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Kemaman sebelum ini diwakili BN menerusi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selama tiga penggal, sebelum bertukar tangan kepada Che Alias pada PRU14.

Pada PRU15, Che Alias berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman apabila menewaskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi. Bagaimanapun, kemenangan Che Alias terbatal selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 26 September lalu menerima petisyen difailkan calon BN, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.