KEMAMAN: Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras sepanjang dua minggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman untuk menarik semula kepercayaan penduduk Kemaman yang pernah menjadi pengundi tegar UMNO dan BN sebelum ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Datuk Abu Bakar Ali berkata parti itu perlu merungkai sebab Parlimen ini yang sebelum ini terkenal sebagai kubu kuat UMNO, namun boleh jatuh ke tangan pihak lawan dengan jumlah undi majoriti yang tinggi.

"Tiba-tiba kita kalah dengan majoriti begitu tinggi, 27,000. Kali ini tak perlu cari 27,000 nak lawan dia, kita nak cari separuh daripada itu, sekitar 14,000 penyokong kuat UMNO yang tiba-tiba lari kepada Pas sekiranya kita nak menang

"Itu sahaja caranya, kerja sungguh-sungguh untuk tarik balik, buat la cara macam mana, aktiviti perjumpaan, kita tarik balik dia kerana dia sebenarnya nak UMNO tetapi mungkin ada sesuatu yang dia tidak puas hati dengan kepimpinan atau lari kepada Pas kerana terima hasutan dan janji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Kerteh, di sini selepas calon BN Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor meluangkan masa menyantuni beliau yang merupakan veteran UMNO Terengganu dan telah berkhidmat sebagai ADUN Kemasik selama lima penggal dari 1986 hingga 2008.

PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Dis ini sebagai hari mengundi dan 28 Nov untuk mengundi awal menyaksikan bekas Panglima Angkatan Tentera itu berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan Che Alias Hamid daripada PAS pada PRU15.

-- BERNAMA