CHUKAI: Setiap pengundi tidak kira lapisan umur, muda atau warga emas sekalipun perlu didekati dengan penuh hormat, kata bekas Panglima Angkatan Tentera Jen(B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Apatah lagi katanya, sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang memerlukan sokongan, undian setiap dari mereka ini sudah tentu sangat berharga.

Malah, sebagai persediaan mewakili mereka juga, apa sahaja keperluan lapisan umur perlu cuba untuk didengari sebaik mungkin, bagi membolehkan tanggungjawab dijalankan dengan sempurna.

"Setiap undi ini dikira sama ada tua atau muda, untuk BN kita ambil penekanan bahawa BN cakna pengundi muda dan pengundi tua kerana mereka itulah yang akan memberi kejayaan kepada BN," katanya ketika ditemui selepas menyantuni pengundi di sekitar kawasan Kijal, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, malam tadi, yang dilaporkan berkata parti itu mendapat peningkatan sokongan daripada golongan pengundi muda kecuali golongan warga emas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lepas.

Abdul Hadi bahkan dilaporkan menyifatkan pengundi tua sebagai "tak reti bahasa" dan menasihatkan jentera PAS supaya tidak membuang masa memancing undi kelompok berkenaan sekiranya tidak menyokong Perikatan Nasional walaupun sudah puas dipujuk.

PRK itu yang ditetapkan 2 Dis ini sebagai hari mengundi menyaksikan Raja Mohamed Affandi berdepan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Memasuki hari keenam kempen, Raja Mohamed Affandi berkata beliau setakat ini antara lain, beliau turut berpeluang mendekati penyokong daripada parti lain untuk memahami hasrat mereka, selain memperkenalkan dirinya.

"Saya lihat banyak positif, saya jumpa dengan penyokong parti lain, setelah menerangkan, berikan maklumat, rupanya ada yang tak dapat (gambaran) sebenarnya.

Sekarang segalanya diputarbelitkan tetapi untuk mencari kebenaran anda harus mencarinya dan putar belit itu sebahagian daripada permainan, untuk itu pengundi berhati-hati dan semak kerana hanya dengan menyemak kita dapat yang benar," katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata sepanjang kempen berlangsung, beliau dan jentera BN dapat membuat penilaian yang lebih baik dan menggunakan baki beberapa hari kempen untuk menambah kawasan yang perlu disinggahi bagi mendekati pengundi.

-- BERNAMA