CHUKAI: Keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) dapat merampas kerusi Parlimen Kemaman atau PAS terus mengekalkan status quo, akan ditentukan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, esok.

Tempoh kempen yang berlangsung selama dua minggu sejak 18 Nov lepas, menjadi taruhan kedua-dua calon bertanding iaitu Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mewakili Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Sebanyak 49 pusat mengundi melibatkan 244 saluran akan dibuka tepat 8 pagi hingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di sini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK itu yang melibatkan 141,382 pengundi berdaftar esok, boleh mencapai sehingga 70 peratus, namun ia tetap bergantung keadaan cuaca yang mana diramalkan hujan sepanjang hari di kawasan tersebut.

Sebelum ini seramai 387 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota tentera yang sepatutnya mengundi awal pada 28 Nov, diarah melaksanakan undi secara pos bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

Sementara pada 28 Nov lepas, proses pengundian awal tetap dijalankan di Balai Polis Kijal, di sini, melibatkan hanya tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera.

Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan, sepanjang kempen berlangsung terdapat tujuh laporan polis diterima, melibatkan jamuan makan dan isu berkaitan 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan.

Bagaimanapun, Mazli berkata beliau berpuas hati kempen sepanjang 14 hari yang berlangsung hampir setiap hari dalam cuaca hujan itu, tiada kejadian tidak diingini berlaku.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ia merupakan PRK keenam diadakan selepas PRU15 pada 19 Nov lepas, selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos, PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan serentak pada 9 Sept, PRK DUN Pelangai pada 7 Okt dan PRK Parlimen Jepak pada 4 Nov.

-- BERNAMA