[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
POLITIK

PRK Kinabatangan: GRS tidak bertanding, beri laluan kepada BN - Hajiji

Fadhil Selihin 16/12/2025 | 10:44 MYT
Menurut Hajiji, keputusan itu diambil sebagai tanda penghormatan kepada parti yang menang sebelum ini dan kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, sekali gus memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) yang merupakan rakan dalam kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu diambil sebagai tanda penghormatan kepada parti yang menang sebelum ini dan kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah.

"Saya ingat kita akan bincang, dalam GRS, tetapi saya ingin menyatakan dengan besar hati kita tidak akan bertanding. Kita akan bagi penghormatan kepada parti yang menang. Kebetulan dia orang adalah di dalam kerajaan negeri sekarang ini," menurut Hajiji.

"Jadi, itu saja yang saya boleh cakap, kita akan bagi laluan. Kita akan bantu mereka untuk memenangi pilihan raya kecil itu. Dua-dua kerusi inilah. Saya akan berbincang dengan presiden UMNO dan juga pengerusi Barisan Nasional. Prinsipnya, kita akan bagi laluanlah," tambah beliau.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui media di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada, Selasa.

Untuk rekod, PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusI Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag selepas penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggal dunia pada 5 Disember lalu.

Hajiji menegaskan, semangat kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan parti komponen kerajaan negeri akan terus diutamakan bagi menjamin keharmonian politik serta kestabilan Sabah.

#PRK Kinabatangan #Hajiji Noor #Bung Moktar meninggal dunia #PRK Lamag