Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar tidak melanggar hukum Islam mahupun batas sebagai orang Melayu.

Beliau berkata meskipun Mastura masih berada di dalam tempoh edah selepas kematian suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang juga penyandang kerusi itu, pencalonan Mastura bukanlah satu masalah.

"Dia baru kematian suami, dia di dalam edah, edah kematian suami adalah selama empat bulan 10 hari jadi dia tidak boleh keluar rumah kecuali atas sesuatu yang berhajat.

"Contoh, dia dibenarkan keluar kalau dia seorang yang mencari nafkah, seorang ahli perniagaan untuk menguruskan perniagaan, sakit untuk ke hospital, (mengajar) kalau dia seorang guru, selain daripada itu haram. Dia boleh jadi calon tapi tidak boleh keluar dan tidak boleh kempen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kedudukan Mastura sebagai calon dan masih dalam edah, selepas melancarkan Radio Nurul Quran Nusantara di Dewan Kuliah Masjid Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Harussani berkata Mastura boleh menerima kehadiran orang ramai yang ingin menziarahnya tetapi beliau perlu berpakaian ihdad iaitu berpakaian hitam dan tanpa perhiasan diri.

Mastura merupakan lulusan undang-undang universiti terkemuka Lincoln's Inn di United Kingdom dan pernah bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.

Ibu kepada empat anak itu juga bergiat dalam dunia politik dan menjadi Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan perhatian kepada keluarga.

Dalam pada itu, Harussani menasihatkan semua parti politik berkempen secara berhemah sepanjang bulan Ramadan ini.

"Boleh berkempen tetapi jangan menjatuhkan orang ... kempen semasa dalam puasa itu tidak lengkap kalau kita tidak menjaga lidah, mata, teliga dan anggota lain," katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Ia menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mastura, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.