PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PN terakhir lancar manifesto, kemuka lima tawaran

Bernama
Mei 6, 2024 13:25 MYT
Khairul Azhari hari ini menunjukkan manifesto PN pada Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Pekan Kuala Kubu Bharu sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Baharu. - Foto BERNAMA
HULU SELANGOR: Calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang mengandungi lima tawaran.
Manifesto bertemakan 'Demi Rakyat Kuala Kubu Baharu' itu dilancarkan pada satu majlis di sini.
Lima tawaran itu ialah menuntut pembangunan berkualiti dan mapan, menjamin kelestarian alam dan persekitaran hijau, memperkasa ekonomi setempat, menggembleng potensi generasi muda dan wanita progresif serta membela masyarakat minoriti.
Khairul Azhari, 54, menjadi calon terakhir mengumumkan manifesto bagi PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian, manakala esok adalah hari pengundian awal.
-- BERNAMA
#PRK Kuala Kubu Baharu #calon PN #Khairul Azhari Saut #lancar manifesto