KOTA BHARU: Kempen Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu tidak akan terjejas berikutan isu yang mengaitkan kelayakan akademik calonnya, Khairul Azhari Saut.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dakwaan itu bukan satu isu kerana Khairul Azhari memang mempunyai kelayakan berkenaan dan sudah disahkan pihak universiti.

"Bagi kita tiada apa yang perlu diperkatakan.

"Mereka yang bercakap itu sebenarnya tidak tahu mengenai kelulusan oleh senat universiti terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Taman Kota Jembal pada Ahad.

Jelas beliau, PN juga percaya calon yang bertanding itu mempunyai potensi besar untuk menang di kawasan berkenaan.

"Suasana politik semasa dalam negara antara faktor yang dikatakan sebagai potensi besar untuk menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu," katanya.

Sebelum ini isu berkaitan kelulusan akademik Khairul Azhari mendapat perhatian apabila ramai mempersoalkan kelayakan ijazah sarjananya tanpa memiliki ijazah sarjana muda.



Bagaimanapun, perkara itu disahkan oleh Dr Ahmad Johari Mohamad yang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced bahawa Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya pada konvokesyen tahun 2021.

Menerusi poster pilihan raya, calon berusia 54 tahun itu diuar-uarkan memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 dan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 2021.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan manakala PRM diwakili Hafizah Zainuddin.

Kedua-mereka dicabar pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari mewakili PN sementara Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian