BENTONG: Perikatan Nasional (PN) Pahang bersikap positif meskipun kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kerana majoriti undi yang diperolehi Barisan Nasional (BN) jelas berkurang.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berbanding Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) jumlah undi popular PN meningkat 11.8 peratus manakala BN 3.5 peratus.

Menurutnya, PN juga mengekalkan sokongan anak muda.

"Tetapi, kalau dicampur undi BN dengan PH pada PRU15, ia merosot 11.5 peratus. Anggaran sokongan Melayu kepada PN meningkat 14 peratus dan BN merosot 8 peratus.

"Kesimpulannya, PN sekali lagi membuktikan bahawa kami mampu menggantikan UMNO-BN, dan memenangi hati anak muda, manakala UMNO-BN (pula dilihat) bergantung kepada DAP-PH (Pakatan Harapan)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, PN menang di kawasan Felda dan sokongan Melayu dilihat semakin meningkat.

Tambah, walaupun peratus turun mengundi 72.1 peratus adalah 6 peratus lebih rendah berbanding PRU15, tetapi pengundi Pelangai harus dipuji kerana angka ini masih tinggi dalam konteks pilihan raya, dan lebih tinggi berbanding sesetengah PRK lain.

"Kita (PN) menang dua daripada tiga PDM (Pusat Daerah Mengundi) di Felda, iaitu Sungai Kemasul (majoriti 295) dan Sungai Kemahal (majoriti 5).

"Walaupun kalah di Felda Chemomoi (-182), tetapi, apabila dicampur undi ketiga-tiga PDM tersebut, PN mendapat 3,038 undi berbanding BN 2,920 (majoriti 118).

"Ini bermakna PN memenangi keseluruhan undi Felda dan tanah rancangan itu bukan lagi kubu UMNO- BN," ujarnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian