PRK Pelangai: Polis buka kertas siasatan

Bernama
September 27, 2023 10:25 MYT
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. - Gambar hiasan
KUANTAN: Polis telah membuka satu kertas siasatan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bermula Sabtu lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Yahaya berkata sebanyak 24 permit ceramah telah diluluskan bagi kempen PRK DUN Pelangai setakat ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai terutama penyokong parti politik supaya sentiasa menjaga tatasusila dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh kempen.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili Barisan Nasional (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Okt ini.
-- BERNAMA
#PRK Pelangai #permit ceramah #kertas siasatan #siasatan polis