BENTONG: Pecutan akhir kempen Perikatan Nasional (PN) akan dibantu dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau dijadualkan sepentas dengan pemimpin-pemimpin gabungan parti pembangkang itu pada ceramah 'grand finale’ Jumaat.

Program itu dijadualkan berlangsung pada sebelah malam, iaitu beberapa jam sebelum tamatnya tempoh kempen PRK DUN Pelangai dan hari pengundian pada Sabtu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara itu sebagai pecutan akhir yang mampu memberi impak kepada PN untuk meraih undi.

"Kita jangka lebih ramai penyokong akan turun.

"Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan MB Kedah serta pimpinan lain termasuk Presiden Gerakan akan hadir," katanya ditemui pemberita pada Ceramah Perdana 'Pelangai Bersedia Berubah', di Simpang Pelangai, di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi PN, telah hadir ke Ceramah Perdana PN di Felda Chemomoi yang menyaksikan lebih ramai orang dipercayai penyokong hadir.

Situasi itu berbeza dengan siri ceramah PN lain yang kurang mendapat sambutan.

PRK DUN Pelangai perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

PN menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, mesra dengan panggilan Cikgu Kasim.

Manakala BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam dan seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga bertanding merebut kerusi tradisi UMNO itu. - Sinar Harian