JOHOR BAHRU: Penglibatan menteri besar Johor dan dua bekas menteri besar negeri itu dalam jentera Barisan Nasional (BN), dilihat mampu memberikan pengaruh besar dalam memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, 9 Sept ini.

Biarpun dikatakan ada segelintir akar umbi BN khususnya UMNO, 'tersinggung' dengan pemilihan calon PH untuk bertanding di kedua-dua kerusi itu, namun ketokohan dan kepimpinan yang ada pada Datuk Onn Hafiz Ghazi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Hasni Mohammad, diyakini mampu merawat 'luka' itu.

Ia penting bagi mengekang kemaraan gelombang hijau daripada merebak ke negeri itu, yang setakat ini hanya mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, sekali gus mengekalkan Johor sebagai negeri 'simpanan tetap' BN.

Bagi Pensyarah Sosiobudaya di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Mohamed Khaled sebagai Pengerusi BN Johor serta Onn Hafiz yang kini menerajui kerajaan negeri, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Beliau berkata ia ditambah dengan aura dimiliki pada Hasni, yang sebelum ini agak popular sebagai Menteri Besar Johor, apabila berjaya mengepalai jentera BN sehingga membolehkan parti itu menang dengan lebih dua pertiga majoriti, pada PRN Johor Mac tahun lepas.

"Jadi gabungan kekuatan (ketiga-tiga mereka) boleh menangkis serangan atau pun pengaruh PAS. Mereka akan dapat menjadi benteng kepada pengundi daripada terpengaruh dengan PAS," katanya yang juga Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Beliau berkata walaupun di pihak Perikatan Nasional (PN) turut mempunyai seorang bekas menteri besar iaitu Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi PN Johor, namun beliau dilihat tidak mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengundi, lebih-lebih lagi perkhidmatannya tidak sampai setahun sebelum digantikan Hasni.

Dr Sahruddin, yang merupakan seorang doktor, mula menyerlahkan kepimpinannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, ketika insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, pada 2019, yang membawa kepada pelantikan beliau sebagai Menteri Besar selama 10 bulan.

Seorang lagi penganalisis politik Dr G Manimaran berkata PN telah mula merintis laluan untuk bertapak di Johor sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022 lagi, iaitu menerusi pengundi muda.

"Saya selalu mengatakan gelombang hijau sudah mula berputik di bawah PN, ketika PRN Johor lagi yang ketika itu memperoleh undi signifikan di saluran orang muda di kebanyakan kerusi DUN.

"Bagaimanapun dalam menghadapi PRK Pulai dan Simpang Jeram ini, saya berpandangan kepimpinan Onn Hafiz, Hasni dan Mohamed Khaled, akan membawa kelebihan kepada blok Kerajaan Perpaduan (PH-BN) dalam PRK kali ini, untuk mengekang gelombang hijau daripada bertapak di Johor," katanya.

Manimaran, yang juga menulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, percaya sumbangan dan peranan ketiga-tiga mereka itu, akan memberi pengaruh yang besar kepada pengundi untuk memihak kepada PH-BN, sekali gus mempertahankan kedua-dua kerusi itu yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu bagi penganalisis politik Dr Che Hamdan Che Mohd Razali, biarpun gabungan PH-BN mempunyai kelebihan dengan memiliki tiga figura tersebut, namun dalam masa yang sama kesepakatan antara tokoh berkenaan amat penting, bagi menggerakkan jentera masing-masing untuk memenangkan calon PH Suhaizan Kaiat di Pulai dan Nazri Abdul Rahman di Simpang Jeram.

"Semua figura ini mempunyai pengaruh tersendiri, cuma bagaimana masing-masing memainkan peranan dalam menggembleng jentera dan meraih undi. Mereka (PH dan BN) perlu ketepikan ego masing-masing dan melupakan pengalaman lalu, ketika berada dalam kem berbeza," katanya.

PH mempertaruhkan bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat bagi Parlimen Pulai, akan berhadapan calon PN iaitu Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai Zulkifli Jaafar, dan seorang calon Bebas iaitu Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi.

Bagi DUN Simpang Jeram pula, PH mempertaruhkan Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman yang akan ditentang calon Perikatan Nasional Dr Mohd Mazri Yahya seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular serta seorang calon Bebas yang merupakan ahli perniagaan S. Jeganathan.

SPR menetapkan PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan serentak susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya itu menetapkan 5 Sept sebagai hari pengundian awal, manakala 9 Sept hari mengundi.

Berdasarkan data SPR setakat 23 Julai lepas, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai dan bagi DUN Simpang Jeram pula seramai 40,379 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu.

-- BERNAMA