JOHOR BAHRU: Di sebalik bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, semangat penduduk di kawasan Parlimen ini untuk menyambut Hari Kebangsaan hari ini tidak langsung pudar.

Misalnya, penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 2 menyemarakkan semangat cinta kepada negara dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan busana paling kreatif.

Bagi mereka, perbezaan politik tidak menghalang rakyat di situ untuk hidup harmoni di bawah satu bumbung.

Salain golongan kanak-kanak, ibu bapa juga tidak kurang teruja dengan membuat persiapan ibarat menyambut 'hari raya'.

Foto Astro AWANI

Menurut peniaga, Rashidah Christina Abdul Hamid, 47, dia sanggup menjahit sendiri pakaian untuk anak perempuannya, Aira Mikaila Muhd Azhar, 4, bagi digayakan pada hari istimewa ini.

"Persiapan itu memang dah buat daripada awal sebab semangat kita nak sambut merdeka.

"Tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun yang lepas sebab kita dah pindah rumah baharu dan dapat kawan baharu.

"Jadi kita macam tak sangka tahun ini, macam hidup kita ini rasa serba baharu. Saya sangat teruja," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini hari ini.

Foto Astro AWANI

Bagi suri rumah, Suhaidah Mas'odi, 36, dia pula terpaksa meminjam pakaian daripada sahabatnya untuk digayakan oleh anak lelakinya, Muhammad Syaqiff Mohd Syairul, 5, kerana kesuntukan masa untuk menempah.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, selain mengisi masa lapang cuti persekolahan, sambutan Hari Kebangsaan digunakan sebaik mungkin untuk mendidik anak-anaknya menghargai pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu.

"Kalau biasa Hari Merdeka kita sambut merdeka sahaja, tapi kali ini bersekali dengan pilihan raya.

"Kita kenalkan dia (anak) tentang apa itu Hari Merdeka dan ceritakan bagaimana keadaan sebelum merdeka dan selepas negara mengecapi kemerdekaan.

"Kita kenalkan juga bendera Malaysia dan didik mereka dengan tokoh-tokoh kemerdekaan," kongsinya.

Seorang lagi suri rumah, Thavam Veeriyah, 47, berkata ini merupakan pengalaman pertama menyambut Hari Kebangsaan di (PPR) Melana Indah Fasa 2 kerana baru berpindah, dan berasakan seperti kembali mengimbau zaman kanak-kanak.

Katanya, kali terakhir dia menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan adalah ketika berusia 12 tahun.

"Pagi tadi saya macam serba salah sebab masa kecil saya tengok perarakan dan ini pertama kali saya sambut kembali macam ini.

"Umur saya dah 47 tahun, baru saya dapat sambut semula begini. Ya, mengimbau kenangan zaman kecil masa di bangku sekolah. Ini kali kedua saya sambut begini di dalam dewan," luahnya sambil tersenyum.

Foto Astro AWANI

Sementara itu, penyedia terapi urutan, Roziah Mohamed Salleh, 40, bersyukur kerana dapat hidup secara harmoni tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

"Kalau saya sendiri sangat-sangat semangat pada tahun ini sebab kita sambut kemerdekaan ke-66 tahun.

"Senang cakap saya di sini nampak silaturahinm daripada semua komuniti dan kami sangat-sangat erat.

"Harapan saya, kita terus menjalinkan hubungan silaturahim yang baik tanpa ada sifat perkauman dan tiada perbalahan sesama kita kerana kita saling memerlukan," katanya.

PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian 9 September ini.