JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas calonnya, Suhaizan Kayat menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Ini merupakan percubaan kali ketujuh Suhaizan dalam pilihan raya, sekali gus ‘menamatkan kemarau’ kemenangan beliau.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu memperoleh sebanyak 48,283 undi, sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN).

Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai memperoleh 29,642 undi.

Ini sekali gus menyaksikan Suhaizan menang selesa dengan majoriti undi 18,641.

Sementara, calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi memperoleh 528 undi, sekali gus hilang deposit.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Ketua Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pulai, Miswan Yunus di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Dalam masa sama, Miswan memaklum peratusan keluar mengundi yang direkodkan ialah 47.33 peratus bagi Parlimen Pulai.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lepas, penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub  yang memperoleh 64,900 undi di kerusi Parlimen Pulai, menang dengan majoriti undi 33,174, manakala bagi DUN Simpang Jeram beliau mendapat 8,749 undi dengan majoriti undi sebanyak 2,399.

KEPUTUSAN RASMI DAN TIDAK RASMI DI SINI