Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau boleh membantu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan untuk 'berehat' selepas berakhir PRK ini dengan tidak mengundinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini bagi membolehkan Mohamad memberi fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Meskipun Mohamad dikenali sebagai seorang yang gemar membantu orang ramai di DUN ini, BN bukan lagi parti memerintah dan Mohamad boleh memberikan fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Kita mahukan pembangkang yang kuat, jadi saya fikir lebih baik orang Rantau tolong Tok Mat dengan 'merehatkan' beliau selepas PRK ini," katanya pada satu program ceramah di Bandar Ekar, di sini, malam tadi.

Beliau juga berkata pengundi perlu memberikan kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram kerana kerajaan PH sedang berusaha memulihkan kembali negara ini.

Beliau memberi contoh kerajaan sedang berusaha memulihkan Felda dengan cara membentang Kertas Putih Felda di Parlimen, Rabu ini, yang akan menjelaskan kerugian Felda dan bagaimana untuk memulihkan institusi berkenaan.

"Tok Mat kalau menang di sini bolehkah dia memulihkan Felda? Kenapa saya cerita mengenai Felda di sini? Sebab UMNO yang lingkupkan Felda dan calon UMNO ada di PRK Rantau.

"Biar PH menang di sini bagi memudahkan PH memulihkan Felda. PH kini kerajaan di Negeri Sembilan, PH juga kerajaan di Putrajaya," katanya.

PRK DUN Rantau, 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad dan dua calon Bebas, suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.