PRK Rantau: Tok Mat, Dr Streram puas hati perjalanan undi awal
Sahlizah Mohamed
April 9, 2019 08:44 MYT
April 9, 2019 08:44 MYT
Dua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Dr S Streram melakukan lawatan di Balai Polis Rantau bagi menyaksikan proses pengundian awal pagi ini.
Calon Pakatan Harapan, Dr Streram tiba sekitar pukul 7.55 pagi sebelum dibawa melawat ke dalam bilik saluran mengundi oleh pegawai Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).
“Pengundian awal bermula pukul 8 pagi di Balai Polis Rantau dan kira-kira pukul 8 tepat mereka memberi laluan untuk anggota polis mengundi.
“Saya saksikan lima orang anggota polis mengundi dan pengundian itu berjalan dengan lancar.
“Saya sangat puas hati dengan SPR kerana proses pengundian dilihat berjalan dengan teliti dan semua pegawai-pegawai mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya pada Selasa.
Seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 orang pengundi awal bagi PRK Rantau Pilihan akan mengundi pada hari ini.
Mereka merupakan 74 orang anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 orang anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.
Baki seramai 8 orang pengundi yang terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos.
Kedua-dua pusat pengundian awal dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup pada jam 12 tengah hari.
Sementara itu, calon Barisan Nasional, Mohamad yang tiba sekitar pukul 8.17 pagi turut berpendapat persiapan yang dilakukan di Balai Polis Rantau amat rapi dan selesa.
“Saya cuma melawat tempat kemudahan pengundi yang disediakan untuk anggota polis di Rantau.
“Nampaknya persiapan yang dilakukan amat rapi dan amat selesa bagi anggota balai ini di sini.
“Saya ucap banyak-banyak terima kasih dari segi persiapan pemantauan oleh pihak SPR. Semuanya ada pemantau, ada pegawai-pegawai yang datang,” jelasnya.
Mohamad pada masa sama berharap agar keseluruhan proses pembuangan undi awal akan berjalan lancar seperti yang dirangka.
Selain Mohamad dan Dr Streram, PRK Rantau turut menyaksikan pertembungan dua lagi calon bebas iaitu, Mohd Nor Yassin dan R. Malar.
Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak sah dan terbatal.
Hakim Datuk Azimah Omar yang membuat keputusan itu turut mengarahkan pilihan raya kecil diadakan serta-merta di kerusi DUN yang dimenangi Timbalan Presiden UMNO itu pada 28 April lalu.
#Balai Polis Rantau
#Mohamad Hasan
#pilihan raya kecil
#prk rantau
#Streram
#Suruhanjaya Pilihan Raya