POLITIK

PRK Sabah: BN tidak akan ambil mudah untuk kekalkan kemenangan - Zahid

Seth Akmal 20/12/2025 | 05:30 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menjangkakan BN bakal berdepan dengan saingan calon Bebas atau parti tempatan di Sabah.
SEKINCHAN: Barisan Nasional tidak akan mengambil mudah untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang akan diadakan 24 Januari hadapan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menjangkakan partinya bakal berdepan dengan saingan calon Bebas atau parti tempatan di Sabah.

“Kita jangan pernah mengambil mudah terhadap kemenangan kita, kita tidak tahu mungkin ada calon-calon Bebas atau parti-parti kecil di negeri Sabah juga akan menawarkan diri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di Dataran Pantai Batu 13 di sini hari ini.

Namun beliau turut menzahirkan harapan agar calon BN iaitu Mohd Naim Kurniawan dipilih oleh pengundi di Parlimen Kinabatangan untuk menggantikan ayahnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Sebaiknya-baiknya kita berikanlah peluang kepada Naim untuk menang kerana beliau hanya melaksanakan baki perkhidmatan dan saya harap ada kesinambungan,” katanya.

Ahmad Zahid menjangkakan kemenangan boleh dikekalkan sekiranya parti-parti sekutu BN tidak meletakkan calon pada PRK kali ini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan parti politik agar merancang dengan rapi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun.

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan meletakkan calonnya dan saya telah menghubungi Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) mengenai perkara itu.

“Begitu juga parti lain mungkin tidak akan meletakkan calon kerana baru saja menghadapi Pilihan Raya Negeri…lagipun untuk PRU16 mungkin kurang daripada dua tahun jadi saya fikir eloklah tenaga itu disimpan,” katanya.

Menyentuh soal calon DUN Lamag, Ahmad Zahid berkata keputusan muktamad berhubung perkara itu akan ditentukan oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dalam masa terdekat.

Menurutnya, beberapa nama telah dikemukakan untuk dipertimbangkan, namun beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kepimpinan UMNO Sabah selepas melalui beberapa siri perundingan di peringkat bahagian.

“Beberapa yang telah dikemukakan…saya serahkan kepada pengerusi UMNO Sabah untuk memutuskannya, setelah beberapa siri perundingan dilakukan oleh kepimpinan bahagian,” katanya lagi.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan pemergian penyandangnya, Bung Moktar, pada 5 Disember lalu.

Pada PRN lalu, Allahyarham yang juga Pengerusi BN Sabah menang di DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan enam penjuru, manakala pada PRU15 beliau menewaskan calon Warisan Sabah di Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, meraih 16,842 undi keseluruhan.


#PRK Sabah #DUN Lamag #Parlimen Kinabatangan #Bung Moktar Radin