MUAR: Menyedari status Muar sebagai pengeluar perabot terbesar Malaysia, calon PRK Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman berhasrat mahu mempromosi dan memperkasakan lagi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dalam kalangan anak muda di kawasan ini.

Nazri Abdul Rahman berkata ini lebih-lebih lagi dengan projek pembinaan kira-kira 400 hektar bagi pembangunan Muar Furniture Park (MFP) di Bakri, Muar, yang dilihat mampu memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kawasan sekitar, termasuk di Simpang Jeram.

"Saya ada iltizam supaya generasi muda yang berpendidikan hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak berminat sambung pelajaran dalam bidang akademik, digalakkan mengambil TVET. Di Muar kita ada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) serta kolej vokasional yang boleh menyediakan latihan yang bersesuaian.

"Malah kerajaan pun turut memberi galakan kepada golongan belia untuk menyertai program TVET ini dan apabila tamat belajar kelak, mereka boleh ditempatkan di kawasan industri berkenaan apabila ia siap nanti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

MFP yang meliputi kawasan seluas 399.4 hektar, merupakan hub bersepadu pengeluaran perabot negara yang dilancarkan pada April 2018 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Nazri berkata keadaan ekonomi yang sedang memulih daripada kesan pandemik COVID-19, ditambah dengan faktor peluang pekerjaan yang agak terhad ketika ini, menyebabkan sebahagian anak muda yang meliputi kira-kira 30 peratus daripada penduduk di Simpang Jeram, berhijrah keluar.

"Jika mereka kekal bekerja di sini, sudah tentu keadaan hidup mereka lebih baik kerana kos hidup rendah, dapat pendapatan baik dan sekurangnya-kurangnya dengan status bandar Muar sebagai bandar perabot, serta bandar bunga-bungaan, ia dapat bantu generasi Y Simpang Jeram," katanya.

Industri perabot negara mencatatkan eksport RM19 bilion pada tahun lepas, dengan 60 peratus daripada industri perabot berada di Muar.

Pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Nazri berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular Dr Mohd Mazri Yahya, serta calon bebas yang merupakan ahli perniagaan S.Jeganathan.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub Salahuddin, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept, diikuti hari pengundian 9 Sept.

-- BERNAMA