PRK Tanjung Piai: Gerakan yakin calon dapat banyak undi - Dominic

Astro Awani
Oktober 22, 2019 07:00 MYT
DOMINIC: Walaupun peluang untuk menang dilihat tipis sekali jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon yang sama dari MCA, kita tetap bersiap sedia untuk melawan. - Gambar Facebook
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menganggarkan lebih banyak undi diberi kepada calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, 16 November depan.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, penerimaan rakyat dilihat lebih mudah kerana parti itu berbilang kaum selain masyarakat hari ini sememangnya menuntut kesepaduan kaum dalam negara sejak merdeka lagi.
"Kita terima pelbagai kecaman sejak pengisytiharan bahawa mahu bertanding di Tanjung Piai. Biarpun menerima pelbagai pandangan dan nasihat supaya tarik diri dari bertanding, kita tetap berpendirian untuk bertanding di sana.
"Walaupun peluang untuk menang dilihat tipis sekali jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon yang sama dari MCA, kita tetap bersiap sedia untuk melawan.
"PRK ini merupakan satu-satunya pertandingan sihat untuk melihat perkembangan politik semasa yang relevan di mata rakyat dan tidak menolak kemungkinan lain jika ditakdirkan keajaiban berlaku semasa hari mengundi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
BACA: PRK Tanjung Piai: Pembangkang selar kerajaan tabur 'gula-gula'
BACA: PRK Tanjung Piai: Pengumuman calon Bersatu minggu depan - Muhyiddin
Pengesahan Gerakan untuk meletakkan calon di Tanjung Piai sebelum ini bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru pada PRK itu nanti.
Dalam pada itu, Dr Dominic menyifatkan PRK kali ini cabaran besar kerana ianya adalah yang pertama untuk parti itu sejak keluar dari BN.
"Ia akan beri kesan yang besar dari pelbagai aspek. Kita berharap jentera parti berusaha untuk kembalikan kegemilangan parti demi masa depan yang lebih baik.
"Kita juga tidak menolak kemungkinan calon Gerakan akan berdepan dengan calon UMNO di Tanjung Piai. Ini sahaja landasan yang membolehkan UMNO dan Pas menguji kekuatan penyatuan mereka di peringkat akar umbi.
"Ianya merupakan persaingan positif untuk melihat aras politik di kalangan pemimpin parti dan parti itu sendiri," jelasnya.
Pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor akan diadakan pada 16 November manakala hari penamaan calon ditetapkan para 2 Nov.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas, akibat mengalami komplikasi jantung.
#Barisan Nasional #calon #Dominic Lau #GERAKAN #kerajaan #MCA #Merdeka #Parlimen #PAS #pembangkang #pilihan raya #politik #Tanjung Piai Memilih #UMNO