KUALA LUMPUR: Kecenderungan majoriti pengundi yang memberikan peratusan kemenangan tinggi untuk Perikatan Nasional (PN) dalam enam pilihan raya negeri yang lepas, menunjukkan ada kebimbangan yang ingin disampaikan kaum Melayu kepada Kerajaan.

Penganalisis Sosio-politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, kaum Melayu sebagai etnik terbesar di negara ini, dilihat mempunyai kerisauan yang tinggi terhadap nasib mereka, khususnya tentang hak dan kesejahteraan hidup.

Beliau berkata, rata-rata pandangan yang diperolehi hasil kajian beberapa firma penyelidik, ditambah dengan keputusan PRN tersebut, memperlihatkan kerisauan kaum Melayu tentang hak mereka yang didakwa kian terancam, serta keadaan ekonomi yang dirasakan tidak begitu memuaskan.

“Dalam konteks seperti B40, keluarga termiskin juga majoritinya Melayu, ini merupakan satu suara yang diminta diberikan perhatian khusus kepada mereka.

“Jadi bergerak ke depan, dasar yang lebih dilihat perlu digerakkan adalah dasar yang dilihat pro polisi Melayu, tetapi pada masa yang sama juga keadilan kepada semua kaum perlu diberikan tetapi kerajaan perlu santuni suara kebimbangan tersebut yang diberi dalam bentuk undi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dengan hos Dzulfitri Yusop dan Harith Asyraf Hasnan dalam segmen pasca pilihan raya Astro AWANI.

PRN: Untuk keputusan penuh, siapa menang dan siapa kecundang klik di SINI

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Penyelidikan, Merdeka Centre, Tan Seng Keat berkata, negeri-negeri tidak bersekutu seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah mempunyai semangat kenegerian yang tinggi.

Justeru, katanya lagi, penumpuan kempen serangan yang ‘keterlaluan’ terhadap calon Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, termasuk dengan insiden beliau ditahan berhubung satu kes, seolah-olah mengangkat dirinya menjadi ‘hero’.

“Sepatutnya ditumpukan isu pembangunan terpinggir, tiba-tiba anda mengangkat beliau, seolah-olah melawan kerajaan Pusat demi isu pembangunan. Pengundi Kedah percaya itu isu penting, bila kempen di Kedah, dia dilabel sebagai pahlawan.

“Memang nampak sentimen pertahankan kebajikan orang Kedah, dia memang dapat sambutan. Di mana pihak lawan seperti BN dan PH tak ada isu. Macam isu track record Kerajaan Negeri Kedah dalam tempoh tiga tahun lepas, tak dibincangkan langsung. Semuanya seperti personal attack,” katanya lagi.

Tambah Seng Keat, pilihan raya negeri sepatutnya menjadi peluang untuk membincangkan urusan negeri, tetapi beliau berkata agak malang kerana ia dijadikan sebagai referendum untuk peringkat Persekutuan.