KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur dan melepaskan jawatannya dalam parti serta kerajaan jika parti Melayu itu gagal memenangi kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Prof Kartini Aboo Talib berkata, zaman 'otai' sudah berlalu dan Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat kerana desakan untuk beliau turun secara terhormat sudah lama bergema selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. 

"Ramai yang menyalahkan beliau atas kekalahan teruk UMNO (pada PRU15).

"Beliau turut dilihat sebagai punca atau tiada beban batu digalas kepada Pakatan Harapan (PH) dek kerana lebih 40 pertuduhan salah guna kuasa dan dana. Kesemua perkara ini menuding ke arah Ahmad Zahid," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malayisa (UKM) itu berkata, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mungkin mempunyai visi, tetapi beliau ibarat acuan Ahmad Zahid dan belum cukup gagah untuk menolak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu daripada terus menjadi Presiden UMNO.

Dalam masa sama, Kartini berpandangan PH-Barisan Nasional (BN) kemungkinan berdepan kesukaran untuk menang di dua negeri iaitu Kedah dan Kelantan, yang dianggap sebagai 'the Malays belt'.

"Ramai yang menjangkakan BN atau PH tidak akan berjaya menembusi kerusi DUN di dua negeri ini. Di Kedah, pada PRU15 lalu semua kerusi Parlimen dimenangi oleh PN kecuali di Parlimen Sungai Petani yang dimenangi oleh PKR.

"Dengan 'Gelombang Sanusi' (Menteri Besar Kedah) yang begitu mesra rakyat, sokongan orang muda menambahkan kesukaran PH-BN untuk bersaing di Kedah dan Kelantan," ujarnya lagi.

Jelas beliau, faktor yang dilihat menjejaskan sokongan terhadap PH-BN berpunca daripada isu-isu yang melingkari permasalahan rakyat termasuk kenaikan harga barangan, penarafan pinjaman bank yang telah naik beberapa kali serta isu inflasi yang menyebabkan kelembapan ekonomi.

"(Selain itu), Isu pengangguran, tiada subsidi elektrik dan sebagainya yang menjadikan rakyat kurang puas hati," kata Kartini.

Sebelum ini, Kartini berpandangan UMNO dijangka berdepan kesukaran untuk menang pada PRN di enam negeri kerana penolakan orang Melayu, sekali gus memberi kesan kepada penurunan sokongan kepada PH.

Beliau menyifatkan UMNO ketika ini diibaratkan seperti kapal yang pecah dari dalam.

BN bakal bertanding di 108 daripada 245 kerusi pada PRN di enam negeri, dengan 62 peratus adalah muka baharu.

Daripada jumlah keseluruhan, 15 kerusi adalah DUN Kedah: Kelantan (31 kerusi); Terengganu (27 kerusi); Selangor (12 kerusi); Pulau Pinang (enam kerusi); manakala Negeri Sembilan (17 kerusi).