SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau yakin pembahagian kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN), bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata setakat ini, tiada masalah atau isu besar mengenai kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan untuk bersama, bagi menghadapi pilihan raya nanti.

"Sekarang kita bersama dengan BN, kami telah adakan perjumpaan...Dalam masa terdekat atau sebulan dua lagi kami dapat selesaikan isu pembahagian kerusi, selepas itu terpulang kepada parti untuk menentukan calon masing-masing.

"Saya rasa semangat itu yang perlu ada dan saya yakin BN dan PH mempunyai cara bersama untuk kita saling menghormati apa juga keputusan pimpinan, itu yang paling penting," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan melantik Menteri Besar dalam kalangan pemimpinnya jika memenangi PRN di negeri itu, Aminuddin menyifatkan ia sebagai perkara biasa.

Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin berkata Bersatu akan melantik Menteri Besar dalam kalangan pemimpin parti itu di Negeri Sembilan dan Selangor, sekiranya berjaya membentuk kerajaan di kedua-dua negeri itu pada PRN akan datang.

-- BERNAMA