BAYAN LEPAS: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Bayan Lepas, Datuk Dominic Lau Hoe Chai yakin beliau akan dibantu oleh semua komponen parti itu termasuk Pas sepanjang 14 hari berkempen yang akan datang.

Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, selain parti komponen, beliau juga yakin bahawa siri kempennya akan dibantu oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

"Saya yakin saya akan dibantu oleh semua parti komponen termasuk Pas sepanjang tempoh berkempen ini.

"Bukan sahaja parti komponen, malah saya juga yakin akan ada beberapa NGO, pihak gereja dan tokong yang akan bantu saya. Ini kerana, pengundi bukannya semua datang daripada parti politik, sebaliknya ia terdiri daripada rakyat Pulau Pinang.

"Saya betul-betul berharap agar mereka beri sokongan penuh untuk membolehkan saya mendapat mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) pada kali ini," katanya selepas Penamaan Calon PRN bagi N38 Bayan Lepas di Dewan Bukit Belah pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan terhadap sokongan parti komponen PN termasuk Pas terhadapnya.

Kerusi DUN Bayan Lepas menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan Dominic Lau daripada Gerakan dengan penyandang kerusi berkenaan, Azrul Mahathir Aziz daripada Amanah.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan itu menafikan bahawa tiada penyokong Pas yang hadir untuk memberi sokongan kepada beliau.

"Saya nampak penyokong Pas di sini tetapi saya tidak boleh menyatakan dengan jelas (kehadiran Pas) kerana mereka kini semua di bawah PN. Mereka datang dan bersalam selain mengucapkan selamat maju jaya kepada saya.

"Dan saya sangat berharap, seperti yang saya katakan, ini hanya isu dalaman kerana komunikasi yang kami hadapi tidak begitu baik. Itulah sebabnya terdapat beberapa salah faham.

"Semua isu ini akan diselesaikan secara dalaman," tambahnya.

Ditanya mengenai cabaran untuk memenangi hati orang Melayu memandangkan kerusi Bayan Lepas adalah kerusi majoriti Melayu, Dominic berkata, pengundi di kawasan itu melibatkan semua kaum iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Oleh itu, sebagai calon PN, kami berada di sini untuk memenangi mandat semua orang,” katanya.

Sebelum ini, pencalonan Dominic di kerusi DUN Bayan Lepas dibantah ahli-ahli Pas Cawangan Bayan Lepas yang mengadakan bantahan aman serta mengugut akan memboikot pencalonan serta PRN kali ini.

Selain itu, pencalonan Dominic di kerusi itu juga mencetuskan tanda tanya apabila namanya tidak diumumkan sewaktu pengumuman rasmi calon PN Pulau Pinang oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee di Pongsu Seribu, Kepala Batas Khamis lalu.

Difahamkan, calon PN di kerusi Bayan Lepas pada mulanya diberikan kepada Pas yang menamakan Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Sementara itu, Azrul berkata, beliau tidak menjangkakan kerusi DUN Bayan Lepas itu tiba-tiba menjadi 'panas'.

“Memandangkan saya berdepan dengan ketua parti (Dominic) saya akan sedaya upaya memastikan kemenangan.

“Malah, rakyat sudah pun membuat keputusan dan mereka mahu mereka yang berkhidmat kepada mereka sejak lima tahun lalu,” katanya. - Sinar Harian